Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

SIARAN AKHBAR JABATAN BURUH

Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh telah menjalankan Operasi Sejahtera 07/2022 di kawasan Kampung Mulaut pada 15 Mac 2022, bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.

Semasa operasi tersebut Jabatan telah menjalankan pemeriksaan ke atas empat buah syarikat di kawasan Kampung Mulaut. Hasil dari pemeriksaan berkenaan telah mendapati kesalahan di bawah Bab 112, Perintah Pekerjaan 2009, iaitu majikan menyalahgunakan jawatan pekerja asing yang mana ianya bertentangan dengan jawatan di dalam Lesen Pekerja Asing yang dibenarkan oleh Pesuruhjaya Buruh.

Seramai tiga orang pekerja asing telah didapati melakukan pekerjaan yang bertentangan dengan jawatan sah mereka di tiga tempat operasi dijalankan; seorang Tukang Masak diarahkan membuat pekerjaan sebagai jurujual di gerai jualan makanan; seorang Tukang Kebun Pertanian diarahkan membuat pekerjaan sebagai jurujual di gerai sayur; dan seorang Pelayan diarahkan membuat pekerjaan sebagai jurujual di gerai jualan nasi katok. Jika sabit kesalahan syarikat boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600.00 bagi kesalahan pertama dan $900.00 bagi kesalahan kedua.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya. Para majikan adalah dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.

Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848
(semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).

LED Operasi 1.jfif LED Operasi 2.jfif



Jabatan Buruh,
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
17 Mac 2022



Attachments